Pembiayaan Nafkah Ibu Bapa: Kajian Pelaksanaan di Pasir Mas Kelantan
Keywords:
Nafkah, Ibu Bapa, Keluarga, Undang-Undang IslamAbstract
Ibu bapa merupakan anugerah yang tidak ternilai kepada anak-anak. Adalah menjadi kewajipan kepada anak-anak untuk memastikan kesemua tanggungjawab ditunaikan selaras dengan syarak melalui pembiayaan nafkah kepada mereka. Nas memberikan huraian yang jelas tentang tuntutan pemberian nafkah terhadap ibu bapa, lengkap dengan syarat, bentuk serta hak nafkah ibu bapa kelainan agama. Keengganan memenuhi tanggungjawab sebenar kepada ibu bapa pasti akan mengundang kemurkaan daripada Allah. Berdasarkan kenyataan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mendapati bahawa seramai 675000 mewakili 32.7 peratus ibu bapa tidak pernah diberikan bantuan kewangan di Malaysia. Ditambah pula dengan jumlah ibu bapa yang menghuni pusat jagaan warga tua meningkat secara mendadak iaitu seramai 2720 orang direkodkan pada tahun 2010 meningkat kepada 5168 orang pada tahun 2013. Kertas kerja ini menjelaskan kedudukan nafkah ibu bapa menurut Islam dan pelaksanaannya di Pasir Mas Kelantan. Data-data telah dikumpulkan melalui kaedah temubual berstruktur untuk mendapatkan maklumat tentang pelaksanaan pembiayaan nafkah. Hasil kajian ini mendapati bahawa anak-anak tidak sepatutnya mengabaikan tanggungjawab memberikan nafkah kepada ibu bapa. Namun, tanggungjawab tersebut terbatal apabila didapati anak-anak mereka tidak berkemampuan. Seterusnya tanggungjawab ini akan beralih kepada pihak yang bertanggungjawab sama ada dari pihak keluarga, institusi kerajaan melalui baitulmal dan zakat seterusnya organisasi-organisasi yang menyalurkan derma dan sedekah. Berdasarkan analisis yang dijalankan, majoriti anak-anak memahami dan melunaskan tanggungjawab untuk memberikan nafkah kepada ibu bapa. Walau bagaimanapun, masih terdapat anak-anak yang enggan memberikan pembiayaan nafkah disebabkan oleh faktor komunikasi dan faktor masalah keluarga.